Tuesday, 10 May 2011

Utusan Malaysia Online - Luar Negara


Usahawan Malaysia diculik

ZAMBOANGA, Filipina 9 Mei - Sepuluh orang penjenayah bersenjata api menculik seorang ahli perniagaan Malaysia di selatan Filipina.


Ketua Pengarah Polis Wilayah, Felicisimo Khu berkata, Mohammad Nasaruddin Bensaidin, 38, diculik di sebuah bandar kecil di Pulau Jolo pada Sabtu lalu.


“Suspek tidak dapat dikenal pasti dan lengkap bersenjata,” ujar Khu, sambil menambah kata, polis di Jolo sedang menjalankan penyiasatan.


Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang berkata, Mohammad Nasaruddin merupakan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan sudah berada di pulau itu selama sebulan.


Cabangbang berkata, pegawai penyiasat sedang memastikan jenis perniagaan yang dijalankan oleh Bensaidin. Penyiasatan awal mendapati Mohammad Nasaruddin terlibat dengan perniagaan dagangan cicak.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas penculikan itu walaupun Jolo dikenali sebagai kawasan yang mempunyai banyak kumpulan bersenjata termasuk Abu Sayyaf. – AFP

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Harga gula naik 20 sen sekilogram hari ini

PUTRAJAYA 9 Mei - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram selaras dengan langkah merasionalisasi harga runcit gula yang akan berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zin Mohd. Dom berkata, kenaikan harga dari RM2.10 kepada RM2.30 itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Ekonomi hari ini.

Beliau berkata, dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.

''Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun.

''Walaupun perubahan harga runcit dibuat, harga runcit di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).

Ditanya kemungkinan para peniaga pengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman, beliau berkata, para peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga yang terlalu ketara kerana ia hanya melibatkan kenaikan kecil.

''Mungkin masih ramai yang tidak sedar implikasi daripada pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih besar untuk merawat pesakit, kenaikan ini diharap dapat mengubah gaya hidup orang ramai," katanya.

Menurutnya, pihak kementerian akan melakukan kajian setiap enam bulan bagi melihat keperluan penyelarasan subsidi harga gula.

Berita Harian Online | Jangan salah tafsir Perkara 3, 11 Perlembagaan


Jangan salah tafsir Perkara 3, 11 Perlembagaan
Oleh Shamrahayu A Aziz

2011/05/10

Perkembangan baru tuntut penjelasan peruntukan berkenaan

TULISAN saya pada minggu ini bukan bertujuan untuk menambah hangat isu 'agama Kristian sebagai agama rasmi'. Ia adalah untuk menjawab beberapa persoalan yang ditujukan kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan juga panggilan telefon selepas perkara ini diketengahkan.

Perkara sama ada benar atau tidak laporan laman sesawang yang menghebahkan perkara ini, biarlah pihak berwajib melakukan siasatan. Namun, sebagai seorang Islam, saya menganggap ia adalah isu besar yang perlu ditangani dengan matang.

Saya bersetuju dengan beberapa pandangan yang disebarluaskan media mengenai kedudukan Islam. Dari sudut sejarah, Islam adalah agama bagi negeri-negeri Melayu dan juga negeri Borneo sebelum kedatangan British. Tidak ada satu ruang pun dalam sejarah yang mengiktiraf agama lain dalam perundangan atau amalan atau upacara rasmi. Fakta sejarah ini tidak boleh diubah, walaupun ada kelompok yang mengajak kita supaya mengabaikan sejarah dan menumpukan kepada situasi semasa dan ke depan. Saya sentiasa menyebut bahawa sejarah ditulis di atas batu, bukan di atas pasir. Tulisan di atas batu itu tidak akan berubah, tetapi tulisan di atas pasir akan hilang ditiup angin atau dilanda ombak. Sejarah perlu dihargai.

Mengambil kira kedudukan Islam dan orang Melayu di Tanah Melayu, Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai bagi Persekutuan (Perkara 3(1)); agama bukan Islam hanya boleh diamalkan dalam keadaan aman dan damai tanpa mengganggu kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3(1)); Islam adalah urusan negeri-negeri yang sepenuh di bawah kuasa Raja-Raja Melayu (Perkara 3 (2)(3); dan, Peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa raja-raja Melayu (termasuk perkara berkaitan Islam) tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja walaupun rang undang-undang pindaan berjaya mendapat dua pertiga majoriti (Perkara 159(5) dibaca bersama dengan Perkara 38(4)).

Fasal (4) Perkara 3 juga menjadi fokus perbincangan. Ia menyebut: “Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini”. Saya menyebut fasal (4) ini kerana ia sering dijadikan hujah untuk merendahkan dan meremehkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Walaupun hujah berkaitan peruntukan ini agak teknikal, sudah tiba masa untuk semua kita memahaminya kerana kita adalah pengguna sebenar. Kefahaman sebenar mengenai peruntukan berkaitan dapat membantu kita memahami Perkara 3 tanpa mudah dipengaruhi tafsiran terpesong.
Diringkaskan mengenai tafsiran fasal (4). Pertama, kita perlu melihat kepada fasal (1) dalam Perkara 3. Fasal ini meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Ia juga membenarkan agama lain diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni. Perkara 3(4) menyatakan bahawa Perkara 3 (iaitu mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan) tidak akan mengurangkan kedudukan perkara lain dalam Perlembagaan.

Dalam membaca dan menafsir Perlembagaan, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa, sebagai undang-undang tertinggi negara, setiap peruntukan yang dimasukkan mempunyai nilai tertentu. Oleh itu, walaupun fasal (4) itu berbunyi begitu, ini tidak bermaksud ia menidakkan nilai fasal (1). Fasal (1) tidak wujud dalam kekosongan. Ia mempunyai nilai tertentu yang disebut dalam Perkara-Perkara lain, seperti Perkara 11(4), 12(2), Jadual Keempat dan Perkara 150(6A).