Harga gula naik 20 sen sekilogram hari ini
PUTRAJAYA 9 Mei - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram selaras dengan langkah merasionalisasi harga runcit gula yang akan berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zin Mohd. Dom berkata, kenaikan harga dari RM2.10 kepada RM2.30 itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Ekonomi hari ini.
Beliau berkata, dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.
''Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun.
''Walaupun perubahan harga runcit dibuat, harga runcit di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).
Ditanya kemungkinan para peniaga pengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman, beliau berkata, para peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga yang terlalu ketara kerana ia hanya melibatkan kenaikan kecil.
''Mungkin masih ramai yang tidak sedar implikasi daripada pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih besar untuk merawat pesakit, kenaikan ini diharap dapat mengubah gaya hidup orang ramai," katanya.
Menurutnya, pihak kementerian akan melakukan kajian setiap enam bulan bagi melihat keperluan penyelarasan subsidi harga gula.
No comments:
Post a Comment