Tuesday, 10 May 2011

Utusan Malaysia Online - Luar Negara


Apple atasi Google

LONDON 9 Mei - Apple berjaya mengatasi Google sebagai jenama paling bernilai di dunia, sekali gus menamatkan penguasaan selama empat tahun enjin carian Internet itu, menurut tinjauan terbaru oleh agensi jenama global, Millward Brown.


Jenama pengeluar iPhone dan iPad itu kini bernilai AS$153 bilion (RM457 bilion), hampir separuh daripada pasaran modal Apple, lapor BrandZ yang membuat tinjauan tahunan ke atas 100 jenama utama dunia.
Tahun lalu Apple dinobatkan sebagai syarikat teknologi paling bernilai mengatasi Microsoft selepas menghasilkan barangan yang paling diinginkan pengguna.


Pengarah Millward Brown, Peter Walshe berkata, usaha Apple yang sangat mementingkan perincian dan elemen mesra alam dalam gajet membuatkan produk mereka lebih unik berbanding produk elektronik yang ada di pasaran.
"Apple telah melakukan apa yang dibuat oleh jenama mewah di mana penetapan harga tinggi pada model keluarannya menjadikan pengguna lebih ghairah dan berkeinginan untuk memilikinya.


"Untuk menggunakan pendekatan ini, sesebuah syarikat itu mestilah mempunyai produk yang hebat serta pengalaman yang luas dan Apple telah pun menguasainya," katanya ketika dihubungi Reuters.


Daripada 10 senarai jenama teratas, enam daripadanya ialah syarikat teknologi dan telekomunikasi dengan Google berada di tangga kedua, IBM di kedudukan ketiga, Microsoft kelima, AT&T ketujuh dan China Mobile kesembilan.
McDonalds pula naik ke tangga keempat selepas industri makanan segera menjadi kategori paling pantas berkembang dengan Coca-Cola berada di kedudukan keenam, Marlboro kelapan dan General Electric ke-10.


Facebook turut berada dalam senarai 100 jenama bernilai di dunia dengan menduduki tangga ke-35, sementara enjin carian China, Baidu meningkat ke tempat ke-29.


Toyota pula merampas semula kedudukannya sebagai jenama kereta paling bernilai selepas pulih daripada krisis penarikan semula kenderaan yang dijual pada 2010. - REUTERS

No comments: