Tuesday 10 May 2011

Berita Harian Online | 'Makan ubi kayu, pinang'


'Makan ubi kayu, pinang'
Oleh Shah Che Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/05/10

 RIMBAN (kiri), Rose    dan Richie (kanan)   ketika sidang media pejabat  Biro Aduan  Pemuda UMNO,  di Kuala Lumpur, semalam.
RIMBAN (kiri), Rose dan Richie (kanan) ketika sidang media pejabat Biro Aduan Pemuda UMNO, di Kuala Lumpur, semalam.
Tiga lelaki terkurung di Papua New Guinea selamat kembali

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pekerjaan di Papua New Guinea dan dikurung di negara itu berjaya diselamatkan dan dibawa pulang Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

Rimban anak Mawang, 49; Jeri anak Ebet, 47 dan Richi anak Jeri, 23, yang berketurunan Iban dan berasal dari Kapit, Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Sabtu lalu, dan dihantar pulang ke kampung mereka, semalam.

Ketiga-tiga mangsa mendakwa dikurung di sebuah rumah usang di Papua New Guinea selama 17 hari dan hanya diberi makan ubi kayu serta buah pinang.

Rimban berkata, mereka dikawal ketat sekumpulan lelaki yang memiliki senjata api dan parang sebelum dibebaskan hasil rundingan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dengan sindiket itu, Sabtu lalu.

“Kami tidak dapat melepaskan diri dari rumah usang itu kerana dikawal pengawal bersenjata,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Pemuda Umno di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rimban berkata, dia bersama lapan rakannya mendapat tawaran pekerjaan di kem balak di negara itu dengan menjanjikan pendapatan lumayan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Sibu.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata rundingan diadakan dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia untuk membebaskan tahanan itu selepas menerima aduan Rose Rimban, 26, anak salah seorang mangsa.

Bagaimanapun, katanya, enam lagi rakyat Malaysia masih berada di Papua New Guinea dan gagal dikesan.

No comments: