Sunday 15 May 2011

Berita Harian Online | Masih Ku Ingat: 1, 2, 3... tak ada soalan? Terima kasih: Dr M


Masih Ku Ingat: 1, 2, 3... tak ada soalan? Terima kasih: Dr M
Oleh Kadir Dikoh

2011/05/15

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika masih memegang jawatan Perdana Menteri, adalah seorang pemimpin yang sentiasa diburu wartawan dari merata dunia. Apa saja yang keluar daripada mulutnya pasti menjadi sumber berita.

Tetapi wakil media terutama wartawan asing haruslah berhati-hati apabila bertanya soalan kepada Dr Mahathir yang memang dikenali amat tajam pemikirannya dan tahu ke mana arah tuju bentuk soalan dikemukakan.

Jika soalan itu berbentuk provokasi, Dr Mahathir akan menyindir balik dengan caranya yang tersendiri, bersahaja dan penuh makna. Amat pantang bagi beliau jika wartawan terus bertanya isu semasa yang tiada kaitan dengan majlis yang dihadirinya. Memang menjadi kelaziman bagi wartawan untuk bertanya soalan ‘PR’ berkaitan sesuatu majlis itu sebelum menyusul dengan soalan isu semasa.

“Saya berada di sini untuk majlis ini. Kalau awak tak berminat dengan perkara ini, saya boleh batalkan sidang akhbar ini bila-bila masa,” kata Dr Mahathir dalam satu insiden apabila kecewa ketika wartawan televisyen Singapura terus bertanya mengenai isu keganasan.

Peristiwa itu berlaku sebaik saja sidang media dimulakan selepas Dr Mahathir diberi taklimat tertutup mengenai program angkasa lepas di Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB), di Taman Teknologi Malaysia dekat Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2003.

Wartawan asing itu meminta ulasan Dr Mahathir ketika itu Datuk Seri mengenai kejadian letupan bom di Hotel JW Marriott Jakarta, Indonesia yang mengorbankan 14 orang manakala kira-kira 150 lagi cedera, termasuk tiga rakyat Malaysia, dua hari sebelum itu.

Nasib baik rakan wartawan tempatan cepat-cepat mencelah bertanya soalan relevan berkaitan program angkasa lepas, menyebabkan ‘mood’ beliau kembali ceria dan menghuraikan isu itu dengan panjang lebar.
Selepas beberapa soalan berkaitan diajukan, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih dan mula bangun untuk meninggalkan sidang media itu, tetapi penulis cepat-cepat memanggil namanya:

“Datuk Seri, ni nak tanya (buat telinga tebal dengan cuba nasib sekali lagi) isu keganasan terbaru di Jakarta.” Dr Mahathir menoleh ke arah penulis, lalu terus duduk semula untuk menjawab soalan itu dan beberapa soalan susulan kemudian, dengan senang hati.

Hasilnya hampir semua akhbar tempatan keesokan hari menggunakan berita itu sebagai berita utama muka depan masing-masing. Bagi wartawan yang kerap membuat liputan acara Dr Mahathir, akan tahu bagaimana ‘mood’nya dan bila masa sesuai untuk bertanya sesuatu isu semasa.

Ungkapan lazim yang pertama disebut Dr Mahathir sebelum memulakan sesuatu sidang media ialah ‘ahh apa nak tanya?’ Ada kala beliau mengira “1, 2, 3... tak ada soalan? Terima kasih.” Gurauan itu kemudian menyebabkan wartawan berebut-rebut bertanya soalan.

Dr Mahathir pernah menegur seorang jurukamera sebuah stesen televisyen tempatan yang sedang memasang mikrofon pada bajunya apabila terhidu bau rokok dengan kata-kata berbunyi: ‘awak hisap rokok ye?’ menyebabkan kru itu tersipu-sipu.

Dr Mahathir memang tidak menghisap rokok dan beliau pernah memberitahu satu majlis dialog dengan pelajar Malaysia ketika lawatan ke Seoul, Korea Selatan pada Mei 2002 bahawa beliau cuma pernah sekali cuba hisap rokok ‘dan tak sedap pun’.

“Saya tidak pernah suka rokok walaupun pada zaman muda saya dulu orang asyik hisap (jenama) ‘Craven A’ dan ‘Rough Rider’. Merokok bukan saja tidak sihat malah boleh menyebabkan paru-paru rosak, tetapi ramai juga hisap rokok tanpa menghiraukan kesannya.

“Dalam Kabinet saya, ada yang suka hisap rokok. Mereka ini mengambil masa lama dalam tandas ketika pertengahan mesyuarat Kabinet kerana menghisap rokok dan mereka fikir saya tidak tahu,” katanya menyebabkan hadirin tak kering gusi.

Pada satu majlis dialog di Konvensyen Sains Negara 2001, seorang peserta bertanya apakah rahsia Dr Mahathir sehingga tidak letih menghadiri banyak acara serta kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.

Dr Mahathir menjawab; “Jika anda berminat melakukan sesuatu kerja, anda akan rasa untuk terus bekerja, dan anda tidak akan rasa letih.” Kemudian secara berseloroh, beliau berkata, “Kita perlu rehat yang cukup. Saya tidur dalam helikopter... bila turun, berucap. Naik balik, tidur, turun balik, berucap.”

Sambung Dr Mahathir lagi; “Ada seorang staf saya, dari pagi hingga petang asyik di depan internet... ini kerana minat. Saya tak tahulah apa dia tengok.” Ini menyebabkan peserta konvensyen itu, saintis Melayu tidak kering gusi.

No comments: